Pendaftaran Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS)

Di bawah Peraturan 25(1), Peraturan-Peraturan Kilang Dan Jentera (Kendalian
Bangunan Dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan)(Keselamatan) 1986 [BOWEC],
kontraktor utama hendaklah melantik seorang penyelia keselamatan tapak bina
separuh masa yang menghabiskan masanya sekurang-kurangnya lima belas jam
seminggu khusus mengenai pengawasan keselamatan dan menggalakkan tatakerja
yang selamat amnya di tapak bina. Antara tugas penyelia keselamatan tapak
bina adalah –

a.       memeriksa dan memperbaiki mana-mana keadaan tidak selamat di tapak
bina;

b.      membetulkan mana-mana amalan tidak selamat;

c.       memeriksa kerja-kerja sub-kontraktor untuk memastikan bahawa Akta
dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya dipatuhi; dan

d.      berhubung terus dengan penyelia keselamatan kontraktor berkenaan
dengan keselamatan bekerja yang dijalankan oleh sub-kontraktor.

Di bawah Peraturan 25(2) Peraturan BOWEC telah menetapkan bahawa penyelia
keselamatan tapak bina hendaklah seorang yang kompeten untuk melaksanakan
tugas-tugas yang ditetapkan dalam subperaturan (3) dan (4), dan mempunyai
kelayakan yang diluluskan oleh Ketua Pemeriksa dan berpengalaman
sekurang-kurangnya selama dua tahun sebagai formen tapak bina. Ketua
Pemeriksa ialah Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Sehubungan dengan itu, bagi menetapkan kompetensi penyelia keselamatan tapak
bina, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memutuskan
bahawa penyelia keselamatan tapak bina hendaklah seseorang yang telah
berjaya menamatkan kursus penyelia keselamatan tapak bina yang dijalankan
oleh pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan
yang dijalankan oleh Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara
(NIOSH) atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP, dan berdaftar dengan JKKP.

Permohonan dibuka sekarang, sebarang permohonan boleh hantar ke JKKP Ibu
Pejabat, Bahagian Keselamatan Industri melalui Y. Bhg Dato’ Ketua Pengarah
JKKP Malaysia.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA