Program :Majlis Ramah Mesra Warga Peniaga & Penjaja Kecil 1 Malaysia Bersama Perdana Menteri
Tarikh : 27 Mei 2012
Hari : Ahad
Lokasi : Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Peserta : Warga Peniaga & Penjaja Kecil & Orang Awam Yang Berminat

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PeniagaterharupengumumanPM/Article/index_html

Peniaga terharu pengumuman PM
Oleh Nor Amanina Omar dan Mohd Fitri Nizam

2012/05/29

KUALA LUMPUR: Peniaga dan penjaja terharu dengan pengumuman penurunan bayaran kos pendaftaran syarikat pemilik tunggal dan perkongsian kepada RM50, yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak, malam kelmarin.

Mereka turut teruja kerana kebajikan mereka kini lebih terbela kerana diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK).

Selain penurunan kos pendaftaran syarikat itu, Perdana Menteri turut mengumumkan diskaun 50 peratus bagi kompaun pendaftaran lewat dan pembaharuan lewat lesen, selain hal ehwal penjaja dan peniaga kecil diletakkan di bawah KPNDKK.

 

Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Datuk Sohaimi Shahadan, berkata penurunan bayaran kos pendaftaran diumum Najib menunjukkan keikhlasan beliau dalam membantu usahawan kecil dan baru untuk menceburi bidang perniagaan.

“Pendekatan ini memberi manfaat sekali gus sebagai bonus untuk penjaja kerana ini kali pertama penurunan sedemikian diumumkan. Di samping itu, ia juga satu galakkan serta sokongan daripada kerajaan supaya penjaja dan peniaga kecil tidak berasa dipinggirkan.

“Keputusan meletakkan hal ehwal penjaja dan peniaga kecil di bawah tanggungjawab KPNDKK adalah satu langkah positif selain membantu membela nasib mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penjual buku, Syed Hussain Syed Imam, 67, yang sudah hampir 40 tahun berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman menyifatkan pengumuman itu adalah satu galakan untuk peniaga sepertinya terus bertapak dalam bidang perniagaan.

“Walaupun bagi sesetengah jumlah itu kecil, ia amat membantu peniaga seperti saya yang pendapatan tidak menentu. Saya juga menyokong peletakan hal ehwal penjaja di bawah KPNDKK kerana ini dapat menyelaraskan harga barangan yang dijual kepada pengguna,” katanya ketika ditemui, di sini.

Peniaga pakaian di Bazar Masjid India, Beh Cheng Hin, 50, berkata pengurangan kadar bayaran pendaftaran menunjukkan kerajaan prihatin nasib penjaja dan peniaga kecil di samping mengotakan janji kepada rakyat.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana berita gembira ini memberi keuntungan kepada penjaja seperti kami dengan mengurangkan kos perniagaan untuk menampung perbelanjaan lain seperti pembayaran sewa tapak,” katanya.

Penjaja kuih tradisional, S Povanaswary, 39, berkata pengumuman Najib adalah satu inisiatif kerajaan bagi membantu penjaja yang baru melangkah ke alam perniagaan.

“Pengumuman ini sangat menguntungkan penjaja seperti saya kerana dengan kos pendaftaran yang baru ini saya boleh menyimpan wang lebihan untuk menambah baik peralatan untuk pembuatan kuih,” katanya.

 


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA