http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Rencana/20100205224143/Article/index_html

Kesarjanaan mantap bentuk minda masyarakat cemerlang
Dr Zaini Ujang

KESARJANAAN bukan suatu kerjaya. Jika ditelusuri sejarah dunia, kita dapati kesarjanaan lebih bersifat peranan dan tanggungjawab, bukan sejenis pekerjaan. Hakikatnya kesarjanaan mempunyai kepentingan dan pengaruhnya tersendiri untuk mewarna dan membangunkan minda masyarakat sebelum terbina sesebuah negara atau tamadun. Itulah sebabnya kemunculan sesebuah tamadun besar biasanya dilatari tradisi kesarjanaan yang mantap.

Kesarjanaan menyediakan kerangka pemikiran dan idealisme dalam pelbagai dimensi. Kemeriahan suasana wacana ilmiah yang menjadi bukti kewujudan sesebuah ekosistem kesarjanaan walaupun kadangkala hangat dengan pelbagai sudut pandang yang tampak bercanggah adalah suatu kemestian untuk menyegarkan daya fikir dan dinamisme sesebuah masyarakat.

Itu juga adalah antara petunjuk potensi dan kemajuan sesebuah negara. Hal ini boleh dinilai menerusi media massa dan forum ilmiah terutama di universiti. Kedua-dua institusi moden ini menyediakan wadah percambahan fikiran dan perdebatan secara beradab.

Perlu juga disebutkan bahawa dalam dunia moden, khususnya sebelum Perang Dunia Pertama, peranan kesarjanaan secara sistematik dikaitkan sebagai suatu kerjaya di universiti. Max Waber, pemikir tersohor Jerman, mengemukakan gagasan ‘kesarjanaan sebagai kerjaya’ menerusi penubuhan universiti moden kira-kira 100 tahun lalu.

Peranan universiti moden ini tidak lagi terhad kepada penyediaan prasarana untuk pengajaran dan pembelajaran seperti tradisi hampir semua institusi pengajian dalam pelbagai tamadun, termasuk Islam dan Eropah. Malah peranan penyelidikan mula diperkenalkan yang menyediakan pekerjaan kepada ahli falsafah, ahli agama, ahli fikir dan ahli sains.

Secara tidak langsung, ‘kesarjanaan’ mendapat tempat di universiti moden sebagai satu idealisme dan juga sistem akademik. Ketika inilah bermulanya tradisi penyelidikan dengan ijazah doktor falsafah (PhD) sebagai ‘lesen’ untuk menganggotai komuniti akademik sama ada sebagai pelajar atau pengajar. Sistem ini kemudian turut dilaksanakan di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah selepas Perang Dunia Pertama.

Bagaimanapun ‘kesarjanaan’ bukan hanya berkembang di universiti. Selain tokoh sarjana di kalangan penulis, institusi prihatin sosial terutama media massa, jemaah fikir (think tank) dan agensi penyelidikan juga melaksanakan peranan kesarjanaan dalam pelbagai bidang. Dalam konteks sains dan teknologi, badan korporat mempunyai pusat penyelidikan sendiri yang menjadi nadi perkembangan ilmu dan kepakaran dalam bidang berkaitan yang dikembangkan berdasarkan sesuatu bidang perniagaan.

Kadang-kala perkembangan ‘kesarjanaan’ di luar kampus dan media massa lebih meriah dan subur. Tokoh sarjana tidak semestinya tokoh akademik. Demikian juga di kalangan penyelidik dan pemikir terulung. Inilah antara persoalan yang cuba saya bincangkan dalam siri pertama Syarahan Anugerah Merdeka pada 9 Februari ini berjudul ‘A Scholarship Voyage: Academic Iconism, Innovation Ecosystem and Water Sustainability.’

Syarahan itu bertujuan memberi perspektif baru betapa kesarjanaan perlu diberi penekanan dalam konteks pembangunan pengajian tinggi. Pada hemat saya, peranan kesarjanaan yang digagaskan Max Waber itu semakin pudar di universiti kerana falsafah ilmu yang tidak jelas dan tumpuan keterlaluan kepada bidang pengkhususan. Akhirnya kesarjanaan, apatah lagi ketokohan sarjana tidak lagi menyerlah.

Saya mempunyai banyak sebab membicarakan hal ini. Selain untuk cuba mendokumentasikan pengalaman dan pemikiran mengenai pengajian tinggi, syarahan itu adalah wacana mengenai kerangka besar dan gagasan ideal, di luar kerangka operasi dan urusan rutin. Wacana adalah resam penting budaya ilmu.

Wacana juga perlu menjadi amalan hidup yang sinonim dengan kesarjanaan, bukan saja dalam disiplin pengkhususan malah juga dalam soal umum membabitkan idealisme, institusi dan budaya ilmu. Einstein misalnya, bukan hanya berwacana mengenai fizik dan matematik, malah merangkumi isu semasa daripada perspektif ilmu dan pemikiran saintifik.

Tajuk syarahan itu menggunakan istilah ‘ikon akademik’ bermakna kedudukan yang tinggi dalam masyarakat disebabkan sumbangan dan peranan (bukan gimik dan pemaparan media), tidak terhad kepada komuniti akademik semata-mata. Istilah itu juga menunjukkan betapa tokoh dan institusi pengajian tinggi perlu dimartabatkan sesuai dengan tuntutan agama (hadis menyebut betapa ulama adalah pewaris nabi) dan peranannya, sekali gus dihargai, diimpikan dan dihayati oleh semua pihak, bukan hanya di kalangan komuniti akademik, malah seluruh lapisan masyarakat.

Perlu juga disebutkan bahawa cara kita menghargai ikon akademik tidak sama dengan sanjungan terhadap tokoh penghibur atau jagoan sukan ketika ini. Syarahan berkenaan juga menyentuh peranan baru kesarjanaan dalam konteks inovasi dan kreativiti, sesuai dengan persekitaran semasa yang berteraskan kepada ekonomi nilai tinggi.

Konsep nilai tinggi juga tidak terhad kepada nilai barang atau perkhidmatan yang boleh diperdagangkan tetapi merangkumi budaya murni dan ekosistem lestari. Secara khusus saya cuba untuk menjelaskan konsep ini dalam konteks pengurusan sumber air. Saya juga mencadangkan agar semua pihak memberi tumpuan kepada pemahaman dan penghayatan budaya ilmu, termasuklah dalam kalangan komuniti akademik.

Ia kerana sesebuah universiti maju bukan hanya kerana program akademik, aktiviti penyelidikan atau kelayakan akademik pensyarahnya yang berjela, sebaliknya kerana budaya kesarjanaan dan persekitaran ilmiah yang merangsang minda, menguji cendekia, mengamit kreativiti, memacu inovasi dan ramah ilmu.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah penerima Anugerah Merdeka 2009 (Pencapaian Ulung Akademik) akan menyampaikan syarahan umum Anugerah Merdeka pada jam 9 pagi Selasa, 9 Februari di Dewan Jumaah, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Jalan Semarak, Kuala Lumpur.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA