http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DewanRakyat_Hukumanberatpemajutaksiapprojek/Article/index_html

Dewan Rakyat: Hukuman berat pemaju tak siap projek

2011/06/17
PEMAJU yang gagal menyiapkan projek perumahan seperti yang terkandung dalam perjanjian bakal dikenakan denda lebih berat jika Akta Pemaju Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966 dipinda tidak lama lagi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, berkata menerusi pindaan itu, pemaju yang gagal menyiapkan projek dalam tempoh perjanjian yang ditetapkan atau menyebabkan suatu projek perumahan terbengkalai boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.
“Dalam cadangan pindaan akta ini juga, kementerian bercadang menaikkan kadar deposit daripada RM200,000 kepada tiga peratus daripada anggaran kos pembinaan yang diperakui oleh arkitek (tidak termasuk kos tanah, tetapi termasuk yuran profesional) bagi memastikan pemaju benar-benar komited memajukan sesebuah projek perumahan.
“Kementerian juga bercadang mewujudkan peraturan yang boleh mengaitkan sesebuah pemaju perumahan didakwa atas kesalahan jenayah jika didapati cuba melarikan diri atau sengaja menyebabkan sesuatu projek perumahan terbengkalai kerana ia akan menimbulkan masalah jangka panjang kepada pembeli terutama perlu membayar faedah pinjaman dengan bank,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) sama ada kementerian akan mengambil tindakan terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan atau tidak mampu menyiapkannya kerana muflis.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA