http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PahangtetapkorporatkanJBA/Article

Pahang tetap korporatkan JBA
Oleh Rosli Abdul Jalil

2012/01/31
KUANTAN: Pengkorporatan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan diteruskan walaupun mendapat bantahan beberapa pihak terutama kakitangannya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan yang dibuat kerajaan, JBA akan menjadi satu badan korporat dan dikenali sebagai Perbadanan Air Pahang (PAIP), bermula esok.
Katanya, pengkorporatan itu tidak perlu ditangguh kerana kerajaan negeri sudah melakukan kajian dan mengadakan perbincangan terperinci sebelum memutuskan untuk berbuat demikian.
“Saya tidak nampak mengapa ada pihak perlu membantah kerana melalui proses ini, tiada seorang pun pegawai tinggi atau kakitangan rendah JBA akan diberhentikan.

“Sebaliknya, ia akan meningkatkan kecekapan JBA, terutama pengurusannya menjadi lebih berkesan,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Hadiah Pakaian dan Beg Sekolah Yayasan Pahang 2012 di Kompleks Yayasan Pahang di sini, semalam.

Adnan diminta mengulas desakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman supaya kerajaan negeri menangguhkan pengkorporatan jabatan itu.

Omar dipetik sebagai berkata, warga kerja JBA tidak diberi maklumat berkaitan terma dan syarat pengkorporatan.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, kekeliruan itu berpunca daripada salah faham dan akan diperjelaskan dalam sesi penerangan yang akan diadakan secepat mungkin kepada pegawai dan kakitangan JBA.

“Seperkara lagi, apa yang akan berlaku ialah JBA tidak diswastakan tetapi dikorporatkan, iaitu hibrid antara swasta, korporat dan elemen kerajaan.

“Ia tidak menumpukan sepenuhnya kepada aspek perniagaan tetapi masih ada elemen kerajaan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Adnan turut memberi jaminan bahawa tarif air tetap sama dan tidak akan dinaikkan selepas PAIP mengambil alih perkhidmatan bekalan air di negeri ini, malah akan diberi peruntukan tetap RM50 juta setahun untuk tempoh lima tahun bagi mempertingkatkan sistem bekalan air di seluruh negeri.

Katanya, pengkorporatan JBA tidak akan merugikan kerajaan kerana tujuannya adalah untuk melupuskan hutang kerajaan.

“Kita tidak akan membuat sesuatu yang tidak disukai dan menyusahkan rakyat kerana kita mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat,” katanya sambil meminta kakitangan JBA tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang sentiasa mencari jalan menggagalkan usaha kerajaan.
___________________________________________________

banner8x2inci_c

Pusat Latihan Bertauliah Kontraktor CIDB di Pahang, HR Skill Training & COnsultancy SB, menganjurkan kursus perpaipan dalaman (pengkhususan CIDB: B10) & perpaipan luaran (pengkhususan CIDB: CE20, CE 39). Kursus berkenaan boleh dilaksanakan di daerah / tempat Tuan/Puan. Untuk maklumat lanjut, mohon berhubung
di talian 09-468 8984 / 86, 013-871 4988, 013-339 7732.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA