http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

“Pasang-siap” diseragam penghujung Oktober ini

KUALA LUMPUR 15 Jun – Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mengeluarkan standard seragam bagi Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) atau kaedah ‘pasang-siap’ pada penghujung Oktober ini.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, langkah itu bertujuan membantu meningkatkan penggunaan IBS dengan kos yang lebih rendah daripada biasa.

“Penggunaan acuan IBS yang standard dapat diguna berulang-ulang dan seterusnya kos akan menjadi lebih rendah. Kini kos penggunaan IBS hampir sama malah ada yang lebih rendah berbanding cara konvensional.

“Sistem itu juga tidak meminggirkan kontraktor-kontraktor kecil seperti kelas F dan E kerana mereka diperlukan dalam sebahagian besar kerja dalam IBS. Sebenarnya, IBS memerlukan sokongan kontraktor tersebut bagi menjadi vendor atau kerja-kerja pemasangan di tapak binaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan rasminya ke Kilang Global Prefab System Sdn. Bhd. yang menawarkan IBS untuk industri binaan di sini hari ini.

Tambahnya, kementerian berharap para kontraktor dapat melihat dan mengkaji bagaimana mereka boleh mengambil bahagian dalam penggunaan IBS.

“Untuk makluman, pertumbuhan bagi industri binaan negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu dari 2011 hingga 2015 dijangkakan 3.5 hingga 4 peratus.

“Kementerian juga telah diamanahkan dalam RMK-10 dengan kerja bernilai RM12.34 bilion melibatkan kementerian lain yang akan menggunakan IBS,” jelasnya.

Katanya, IBS mempunyai masa depan cerah dalam negara kerana kerja pembinaan yang lebih cepat, harga kompetitif dan kurang penggunaan pekerja asing.

Mengulas perkembangan pembinaan Kompleks Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Shaziman berkata, beliau dimaklumkan ia telah sampai peringkat akhir.

“Apa yang tinggal adalah reka bentuk dalaman dan kontraktor telah meminta lanjutan masa sehingga penghujung Ogos ini untuk menyiapkannya tetapi kosnya tidak bertambah,” ujarnya.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA