http://www.dosh.gov.my/doshV2/index.php?option=com_content&view=article&id=346&Itemid=&lang=en

GARIS PANDUAN PENDAFTARAN PENYELIA KESELAMATAN TAPAK BINA 2011

Di bawah Peraturan 25(1), Peraturan-Peraturan Kilang Dan Jentera (Kendalian Bangunan Dan Kerja-Kerja Binaan Kejuruteraan)(Keselamatan) 1986 [BOWEC], kontraktor utama hendaklah melantik seorang penyelia keselamatan tapak bina separuh masa yang menghabiskan masanya sekurang-kurangnya lima belas jam seminggu khusus mengenai pengawasan keselamatan dan menggalakkan tatakerja yang selamat amnya di tapak bina. Antara tugas penyelia keselamatan tapak bina adalah –

memeriksa dan memperbaiki mana-mana keadaan tidak selamat di tapak bina;
membetulkan mana-mana amalan tidak selamat;
memeriksa kerja-kerja sub-kontraktor untuk memastikan bahawa Akta dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya dipatuhi; dan
berhubung terus dengan penyelia keselamatan kontraktor berkenaan dengan keselamatan bekerja yang dijalankan oleh sub-kontraktor.

Di bawah Peraturan 25(2) Peraturan BOWEC telah menetapkan bahawa penyelia keselamatan tapak bina hendaklah seorang yang kompeten untuk melaksanakan tugas-tugas yang ditetapkan dalam subperaturan (3) dan (4), dan mempunyai kelayakan yang diluluskan oleh Ketua Pemeriksa dan berpengalaman sekurang-kurangnya selama dua tahun sebagai formen tapak bina. Ketua Pemeriksa ialah Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Sehubungan dengan itu, bagi menetapkan kompetensi penyelia keselamatan tapak bina, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memutuskan bahawa penyelia keselamatan tapak bina hendaklah seseorang yang telah berjaya menamatkan kursus penyelia keselamatan tapak bina yang dijalankan oleh pusat pengajar yang berdaftar dengan JKKP, dan telah lulus peperiksaan yang dijalankan oleh Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) atau institusi yang diiktiraf oleh JKKP, dan berdaftar dengan JKKP.

Permohonan dibuka sekarang, sebarang permohonan boleh hantar ke JKKP Ibu Pejabat, Bahagian Keselamatan Industri melalui Y. Bhg Dato’ Ketua Pengarah JKKP Malaysia.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA