Semua Tapak Binaan Perlu Ada Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS)

11.08.2011 / BHARIAN

ALOR SETAR: Semua kontraktor industri pembinaan seluruh negara diwajibkan menggaji Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS) yang berperanan untuk mengawasi dan memastikan persekitaran kerja selamat di tapak projek, berkuatkuasa 01 Januari 2011

Langkah itu adalah selaras dengan usaha Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk meminimumkan kes kemalangan terutama membabitkan kes kematian di tapak pembinaan.

Ketua Pengarah JKKP, Datuk Ir Dr Johari Basri, berkata kegagalan kontraktor untuk menggajikan SSS di tapak pembinaan masing-masing akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan mengikut Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Operasi Bangunan dan Kerja Pembinaan Kejuteraan) 1986 yang membawa kepada hukuman denda RM1,000.

Beliau berkata, sehingga kini JKKP sudah mendaftarkan sebanyak 9,136 tapak pembinaan di seluruh negara sebagai langkah pemantauan untuk memudahkan pihaknya menjalankan penguatkuasaan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kewujudan SSS di tapak pembinaan amat penting bagi memeriksa dan memperbaiki mana-mana keadaan yang tidak selamat ketika bekerja di tapak pembinaan, selain itu SSS juga berperanan untuk memastikan koordinasi di antara kontraktor utama dan pekerja sub kontraktor.

“Ini kerana tapak pembinaan dikesan sebagai penyumbang kes kematian tertinggi berbanding industri lain. Statistik kemalangan untuk sektor pembinaan pada 2010 adalah 66 kes maut dan sehingga Mei tahun ini sebanyak 30 kes maut di tapak pembinaan direkodkan JKKP.

“Kita percaya persekitaran kerja yang dinamik iaitu sentiasa berubah dari semasa ke semasa di tapak pembinaan selain kekerapan pertukaran pekerja mengikut keperluan projek menyumbang kepada risiko kemalangan berbanding sektor lain seperti perkilangan yang mempunyai pengkhususan kerja yang sama,” katanya selepas Program Taklimat dan Dialog Keselamatan dan Kesihatan serta Penyampaian Banner di Sektor Pembinaan Kedah di sini, petang semalam.

Johari berkata, penguatkuasaan undang-undang yang proaktif di tapak pembinaan perlu kerana beliau percaya industri pembinaan negara akan berkembang jauh lebih pesat dalam jangka masa akan datang selaras dengan misi kerajaan mewujudkan negara berpendapatan tinggi.

“Bagi memastikan SSS dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, JKKP menetapkan syarat yang melayakkan seseorang itu dilantik sebagai SSS termasuk mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun sebagai penyelia tapak selain menghadiri kursus tertentu dan lulus peperiksaan berkaitan.

“SSS adalah individu yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan ini bermakna setiap tapak pembinaan bukan hanya menggaji seorang SSS saja tetapi lebih daripada itu bergantung kepada keperluan projek. Misalnya ada SSS yang pakar dalam hal memasang cerucuk maka dia akan memantau aktiviti berkaitan,” katanya.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA