http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KontraktorKelasFbolehterjejas/Article

Kontraktor Kelas F boleh terjejas
Oleh Fazli Abdullah

2011/12/30
GEORGETOWN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menyifatkan keputusan kerajaan membuka semula pendaftaran lesen kontraktor Kelas F yang dibekukan sejak 2005 boleh menggugat punca pendapatan 28,000 pemegang lesen sedia ada.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohamed Fadzill Hassan, berkata dengan jumlah projek diluluskan kerajaan agak terhad, pertambahan kontraktor Kelas F akan menyebabkan persaingan semakin sengit dikalangan kontraktor.
Katanya, contohnya Projek Penyenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun depan bernilai RM500 juta.
Beliau berkata, persaingan kontraktor Kelas F untuk mendapatkan projek itu sehingga ada yang sanggup masuk tender pada harga tinggi, dan akhirnya akan menyebabkan projek gagal kerana mereka mengalami kerugian.

“Justeru, kami tidak setuju keputusan membuka semula pembekuan itu kerana ia tidak membantu kontrakor Kelas F tetapi membunuh mereka,” katanya selepas Seminar Industri Pembinaan dan Hari Bertemu Pelanggan 2011di sini.

Seminar sehari yang disertai kira-kira 250 peserta anjuran bersama PKMM Pulau Pinang dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada Mac 2005, kerajaan membekukan permohonan lesen kontraktor Kelas F kerana bilangan kontraktor ketika itu terlalu ramai iaitu 35,000 orang. Serentak itu, langkah penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan dan sehingga Julai lalu kontraktor Kelas F berkurangan kepada 28,982 orang.
September lalu, Kementerian Kerja Raya mencadangkan kepada Kabinet untuk membuka semula pembekuan pendaftaran secara terkawal yang akan dikenali sebagai Kontraktor Gred G1 (Bumiputera) di bawah Sistem Satu Pendaftaran Kontraktor (1RoC) yang dikendalikan CIDB.

Kontraktor yang layak berdaftar di bawah Gred G1 mesti memenuhi kriteria tertentu iaitu berusia tidak lebih 40 tahun; mempunyai sijil kemahiran daripada institusi latihan pembinaan atau kelayakan daripada institusi pengajian yang diiktiraf atau pengalaman kerja lima tahun dalam bidang berkaitan; mempunyai modal berbayar RM10,000 dan ke atas serta keutamaan kepada mereka yang sudah berdaftar dengan CIDB.

Mohamed Fadzill berkata, beliau difahamkan nisbah kontraktor kepada penduduk di Malaysia adalah paling ramai berbanding negara lain di dunia.

“Lebih wajar kerajaan mempertingkatkan kemahiran kontraktor sedia ada, bukannya menambah bilangan mereka,’ katanya.

PKMM juga sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Kerja Raya mengenai persatuan tidak setuju dengan pembukaan semula pendaftaran kontraktor Kelas F itu.

*****************************************

Apa pandangan Tuan / Puan?


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA