http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ramaijadiusahawanselepaskrisisekonomiglobal/Article

Ramai jadi usahawan selepas krisis ekonomi global

KELEMBAPAN ekonomi yang melanda Malaysia susulan krisis ekonomi global baru-baru ini melahirkan generasi baru usahawan tempatan apabila ramai memilih untuk bekerja sendiri.

Mengikut kaji selidik terbaru firma penyelesaian tenaga kerja global, Kelly Services, seorang daripada enam responden kaji selidik itu menganggap diri mereka sebagai ‘bekerja sendiri’.

Lebih separuh daripada baki responden itu pula menyatakan keinginan untuk bekerja secara lebih bebas.
Penemuan itu adalah sebahagian daripada Indeks Tenaga Kerja Global Kelly yang mengumpulkan pandangan 134,000 responden, termasuk 2,000 di Malaysia.

Firma itu berkata, hampir separuh responden mahu memulakan perniagaan sendiri, iaitu bagi mereka berumur antara 18-29 tahun lebih berminat memulakan perniagaan komersial berbanding yang berusia antara 30 hingga 47 tahun dan antara 48 hingga 65 tahun.

Keputusan kaji selidik itu menunjukkan 17 peratus daripada responden kini bekerja sendiri terdiri daripada 23 peratus yang berusia 48 hingga 65 tahun, 18 peratus (18 hingga 29 tahun) dan 13 peratus (30 hingga 47 tahun).

Faktor utama dinyatakan sebagai sebab beralih kepada bekerja sendiri ialah ketidakpastian mengenai pendapatan, risiko kegagalan dan ketiadaan sokongan.
Kelly Services dalam kenyataannya menambah, daripada 47 peratus responden yang mahu memulakan perniagaan, 50 peratus adalah yang berusia 18 dan 29 tahun, 40 peratus (30 dan 47 tahun) dan 31 peratus (48 dan 65 tahun).

“Ramai antara mereka yang kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi global kini menjadi kontraktor bebas, pekerja bebas dan perunding,” kata Pengarah Urusan Kelly Services Malaysia, Melissa Norman dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, lebih ramai orang menganggap berkerja sendiri sebagai satu cara untuk mencapai kejayaan peribadi dan profesional.

Kenyataan firma itu itu berkata, minat kepada bekerja sendiri adalah seiring dengan arah aliran penggunaan sumber luar bagi menjalankan fungsi bukan teras syarikat.

Langkah itu, sekali gus mewujudkan banyak peluang bagi kontraktor bebas.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA