http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keselamatandipusatasuhanperluditekan/Article/index_html

Keselamatan di pusat asuhan perlu ditekan

CYBERJAYA: Ibu bapa dan tenaga pengajar di pusat asuhan perlu menekankan aspek keselamatan anak-anak tanpa mengira tempat dan masa bagi mengelakkan kejadian kemalangan membabitkan kanak-kanak sama ada di rumah, taska atau pusat asuhan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau amat sedih apabila membaca laporan atau melihat kemalangan yang menimpa kanak-kanak akibat kecuaian ibu bapa atau pengasuh.

“Ada kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan atau taska menjadi mangsa akibat ada sesetengah daripadanya tidak mempunyai guru terlatih dan tidak mengetahui bagaimana mengendalikan kes anak-anak demam atau tercekik susu.

“Ada ibu bapa yang terpaksa tinggalkan anak di rumah jiran, ada yang jatuh tapi tak diberitahu, lepas tiga hari baru dapat tahu bila anak dah demam, dan kejadian ini amat menyedihkan.

“Jadi saya sangat berharap pihak berkenaan mengambil berat terhadap keselamatan anak-anak apabila ibu bapa mencari rezeki. Pada masa sama, adalah penting supaya taska bertauliah diwujudkan di tempat kerja dan saya sudah berbisik kepada ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri supaya perkara ini diambil perhatian secara serius,” katanya pada majlis perasmian Hari Keluarga Permata Negara di Sekolah Seri Puteri, di sini, semalam.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA