http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_03.htm

Kontraktor bumiputera belum capai tahap memuaskan

KUALA LUMPUR 14 April – Kontraktor bumiputera didapati belum mencapai tahap memuaskan terutama dalam aspek pengurusan syarikat, keupayaan melaksanakan projek dan kekuatan kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata, selain itu kontraktor bumiputera yang kebanyakannya Kelas F juga belum dapat menggunakan teknologi dan sumber manusia sepenuhnya bagi meningkatkan pencapaian syarikat.

Justeru, katanya, kerajaan berpendirian kontraktor bumiputera ini masih perlu diberi latihan dan peluang untuk memperoleh kemahiran dan pelaburan.

Jelas beliau, langkah itu perlu kerana kontraktor bumiputera dilihat tidak akan dapat bersaing dengan penender-penender lain yang sudah mantap dan mempunyai kelebihan mengemukakan harga tawaran lebih kompetitif.

“Pada masa sama, kontraktor bumiputera perlu mengambil inisiatif sendiri terus berusaha meningkatkan kepakaran teknikal, keupayaan kewangan, jalinan rangkaian dan daya saing dengan penender lain yang menyertai tender kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, kata Chee Heung, kerajaan memperuntukkan RM2.461 bilion di bawah Program Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) bagi membantu mengagihkan projek kepada kontraktor bumiputera Kelas F.

Tegasnya, peruntukan khas Kementerian Kewangan itu disediakan untuk pelaksanaan program PIA yang dikhaskan kepada kontraktor kelas F sepanjang tempoh lima tahun ini.

“Di bawah Program Projek Infrastruktur Asas (PIAS) pula, RM2.972 bilion peruntukan telah disediakan untuk tempoh empat tahun bermula 2006,” katanya.

Beliau menambah, maklumat Kementerian Kerja Raya menunjukkan 41,930 kontraktor berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sehingga 2 April lalu.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 38,471 atau 91.75 peratus merupakan kontraktor bumiputera yang berdaftar dalam kelas A hingga F.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA