http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

JKR akan senggara jalan di kawasan kemalangan

DENGAN hormatnya saya merujuk kepada tulisan daripada Husani Sudin, Dungun, Terengganu, bertajuk ‘Bertindak, bukan berkempen’ yang disiarkan di dalam ruangan ini pada 23 November lalu. Ini berikutan peristiwa beberapa kemalangan jalanraya yang melibatkan bas, Jabatan Kerja Raya (JKR) ingin memberikan maklumbalas berhubung dengan aduan tersebut.

Untuk makluman, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyedari bahawa kebelakangan ini sering berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan bas, termasuk kemalangan ngeri yang berlaku baru-baru ini di KM 15, Jalan Cameron Highlands – Simpang Pulai yang telah meragut 27 nyawa.

Sebagai langkah penambahbaikan bagi membendung kejadian sedemikian rupa berulang, Jabatan ini telah merancang pelbagai strategi untuk penyenggaraan kawasan kemalangan tersebut melalui beberapa pendekatan. Antara kaedah yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:-

# Membuat penambahbaikan papan tanda amaran sedia ada bagi meningkatkan tahap kepekaan pemandu terhadap potensi bahaya di hadapan mereka.

# Mengecat semula garisan jalan meningkatkan tahap penglihatan pemandu terutama semasa hujan atau waktu malam.

# Menambah bilangan transverse bar dan dipasang dengan lebih tebal bagi mengurangkan kelajuan kenderaan semasa menuruni bukit, khususnya sebelum menghampiri mana-mana selekoh yang tajam.

Dengan tindakan yang akan diambil dalam tempoh masa terdekat ini, diharapkan ia dapat mengurangkan risiko kejadian kemalangan yang sama daripada berulang disamping dapat meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di sepanjang laluan berkenaan.

Walaupun kebanyakan insiden kemalangan ngeri yang berlaku baru-baru ini telah dikenalpasti bukan berpunca daripada faktor kejuruteraan jalan, jabatan ini tetap berusaha untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan dengan membuat penambahbaikan ke atas aspek kejuruteraan jalan bagi memastikan keadaan jalanraya sentiasa selamat untuk dilalui oleh pengguna jalanraya.

SAIPOL ANWAR BIN MOHD RAJI
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Kerja Raya Malaysia


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA