http://www.mohr.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=237%3A8-februari-2007-berita-harian&catid=72%3Aarchive-news&Itemid=161&lang=en

Majikan wajib kemuka laporan analisis risiko kurangkan kemalangan

PUTRAJAYA: Semua majikan khususnya yang memiliki tapak pembinaan wajib menyediakan laporan analisis risiko (HIRARC) dalam usaha kerajaan mengurangkan kes kemalangan di tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Niosh) sudah diarah memantau laporan berkenaan.

Ia bagi memastikan majikan mematuhi garis panduan dan 43 peraturan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Mereka yang gagal mematuhinya, boleh diperintah berhenti kerja dan jika sabit kesalahan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Dr Fong berkata, penyediaan laporan perlu berikutan peningkatan kemalangan di tempat kerja dengan yang terbaru di Jalan Bukit Bintang.

Dalam kejadian itu, dua pekerja binaan maut, manakala 10 lagi cedera apabila lif jatuh dari paras 15 meter.

Dr Fong berkata, sistem penilaian bencana dan pengenalan kawalan risiko (HIRAC) untuk mengenal pasti risiko dan bahaya di tempat kerja juga dikuatkuasakan mulai tahun ini untuk memudahkan kawalan serta pemantauan kemalangan di tempat kerja.

“JKKP akan mengawasi sistem ini dan kontraktor yang memperoleh projek binaan melebihi kos RM20 juta diwajib menyediakan sistem ini untuk memudahkan usaha mengenal pasti tindakan keselamatan yang perlu diambil ketika kemalangan.

“Berikutan itu, pegawai JKKP diarah memeriksa semua tapak pembinaan bagi memastikan kontraktor mematuhi peraturan,” katanya.

Dr Fong berkata, mulai 15 Februari ini majikan yang ingin menyambung permit pekerja asing boleh berbuat demikian menerusi talian, sebelum Sistem Permohonan Perakuan Kemahiran Pekerja Asing Secara Talian Terus dikuatkuasakan pada 1 Mac ini.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA