http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SYABAS_NIOSHmeteraiprogramkadkeselamatan/Article

SYABAS, NIOSH meterai program kad keselamatan

SHAH ALAM: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), semalam memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Program Kad Keselamatan SYABAS-NIOSH (SNSC) bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pekerja terutama kakitangan SYABAS dan pekerja kontraktor lantikan terbabit dalam pengendalian kerja tapak.

Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS, Datuk Ruslan Hassan, berkata program itu dirangka bagi meningkatkan tahap pengetahuan kakitangan SYABAS yang memantau kerja kontraktor di kawasan tapak projek.
Sebaik program dilaksanakan kelak, katanya, kakitangan dan kontraktor lantikan SYABAS perlu mengikuti kursus dan mendapatkan kad keselamatan syarikat itu sebelum dibenarkan terbabit dalam kerja tapak projek miliknya.
“Walaupun sebelum ini kakitangan dan kontraktor lantikan SYABAS hanya perlu mendapatkan kad hijau, syarikat mendapati masih terdapat pekerja kontraktornya terbabit kemalangan akibat kecuaian di tempat kerja,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai MoU di antara SYABAS dan NIOSH di sini, semalam.

Ruslan berkata, kerjasama SYABAS-NIOSH itu diwujudkan selepas mendapati kursus yang dijalankan bagi mendapatkan kad hijau sebelum ini tidak merangkumi aspek spesifik seperti terdapat dalam kerja tapak pengendalian pengurusan air.

“Menerusi program SNSC ini, kakitangan dan kontraktor lantikan SYABAS akan didedahkan dengan semua maklumat perundangan serta peraturan keselamatan pekerja yang betul dan perlu diamalkan,” katanya.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA