http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2008&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_02.htm

ARKIB : 23/07/2008
CENFED UMP bantu usahawan
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI

BIDANG keusahawanan menjanjikan pendapatan lumayan jika pengurusan syarikat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. Walau apa jenis perniagaan sekalipun, ia pasti mendatangkan keuntungan berlipat ganda jika dioperasi menggunakan kemahiran, ilmu dan teknologi masa kini.

Bukan sahaja bertujuan menambah pengeluaran serta produk syarikat, pengurusan syarikat dalam segi kewangan, modal, kakitangan, pemasaran dan lain-lain aspek perlu dititik beratkan bagi menjamin kesinambungan berterusan perniagaan.

Syarikat industri dan pengusaha kecil dan sederhana (IKS) merupakan antara golongan yang boleh dikategorikan dalam bidang keusahawanan. Namun golongan tersebut sering berhadapan dengan masalah menguruskan perniagaan mereka.

Tanpa mengetahui saluran yang betul untuk melebarkan perniagaan masing-masing, tidak hairanlah ada di antara industri dan pengusaha IKS mengambil keputusan memberhentikan operasi syarikat. Malah ada di kalangan golongan itu terpaksa gulung tikar.

Bagi mengelakkan perkara itu berlaku, Pusat Pengajian Berterusan dan Pembangunan Profesional (CENFED) Universiti Malaysia Pahang (UMP) tampil membantu golongan tersebut. Ia dilakukan melalui program-program yang ditawarkan khas untuk bidang keusahawanan.

Menariknya, selain mendapat pengiktirafan daripada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec), IKS turut berpeluang menyertai program yang ditawarkan dengan pembiayaan yuran program sebanyak 80 peratus daripada Smidec.

Melalui pembiayaan itu, peserta hanya perlu membayar antara RM100 hingga RM800 yuran penyertaan mengikut jenis program bagi kursus selama dua hingga lima hari beserta makan dan minum.

Industri dan pengusaha IKS boleh memilih satu daripada sembilan kursus yang ditawarkan iaitu A Solutions Finding & Decision Making For Result Program, Vision 2002 Profesional (Introduction), Excellence In Frontline Management, Mission Critical Risk Management, Project Management Using Ms Project 2000, Strategic Planning Course, Confined Space, Supervisory Skills Course dan Safety & Health.

Pengarah CENFED, Mohamad Rozi Hassan berkata, bagi memastikan keberkesanan program, semua program tersebut dikendalikan para pensyarah dari UMP atau tenaga pengajar yang didatangkan khas dari industri.

“Sejak ditubuhkan pada 2004, CENFED mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan industri dan agensi-agensi kerajaan negeri.

“Sehingga kini kita ada kira-kira 2,500 peserta yang telah menyertai lebih 50 program yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui Mega, baru-baru ini.

Mohamad Rozi berkata, bagi menyertai program-program yang dibiayai Smidec, IKS perlu memenuhi dua syarat iaitu syarikat mesti menjalankan perniagaan dalam sektor perkilangan (termasuk asas tani) dan perkhidmatan berkaitan perkilangan yang mempunyai nilai jualan tahunan tidak lebih RM25 juta atau jumlah pekerja sepenuh masa kurang 150 orang.

Satu lagi syarat katanya, syarikat mestilah terlibat dalam sektor perkhidmatan (termasuk teknologi komunikasi dan maklumat) yang mempunyai nilai jualan maksimum RM5 juta atau jumlah pekerja sepenuh masa kurang dari 50 orang.

Jelas beliau, bagi menyediakan IKS kepada atmosfera perniagaan dan persaingan yang tinggi, Smidec menyediakan geran tahunan sebanyak RM600,000 untuk melatih kira-kira 600 peserta setiap tahun.
Katanya lagi, dalam usaha menjadikan CENFED sebagai gedung masyarakat menimba ilmu, pihaknya berhasrat menambah 33 kursus lagi berkaitan IKS pada masa depan yang merangkumi bidang pengurusan, bahasa, kewangan, motivasi dan sebagainya.

Antara program yang telah digariskan termasuklah kursus bahasa Inggeris, bahasa Arab dan Mandarin, kemahiran berunding, mencari peluang bisnes, pengurusan stress, pemasaran berlesen dan asas pengurusan kewangan.
Pengetahuan yang diperoleh melalui program CENFED bukan sahaja boleh diaplikasikan dalam perniagaan, malah peserta boleh menyambung pengajian ke peringkat diploma eksekutif kendalian pusat tersebut.

Melalui penyertaan program CENFED, IKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada tenaga pengajar terlatih selain berpeluang menggunakan kemudahan di UMP untuk membuat penyelidikan dan sebagainya.

Penyertaan itu juga memberi kesan sinergi kepada CENFED UMP mahupun industri kerana hubungan dapat dieratkan melalui latihan industri untuk mahasiswa UMP. Secara tidak tidak langsung memudahkan industri merekrut pekerja dalam bidang masing-masing.

Selain program yang mendapat pembiayaan Smidec, kursus-kursus CENFED turut diiktiraf pelbagai badan lain contohnya Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan beberapa badan lain.


Informasi ini sangat berguna, BERITAHU RAKAN ANDA